TONGKAT DALAM ISLAM
Salah satu lagi khazanah penting bagi umat islam ialah mengenai TONGKAT. Dalam tamadun Islam memakai tongkat atau bertongkat, adalah salah satu akhlak atau tatacara kehidupan para nabi, orang-orang salih dan ulama-ulama Islam zaman dahulu.
Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma berkata, yang bermaksud: “ Bertumpu kepada tongkat termasuk akhlak para Nabi . Dan Nabi (Muhammad) Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam sendiri adalah bertumpu kepada tongkat.”
Diriwayatkan juga oleh Ibnu Abbas bahawa: Tongkat adalah tanda orang beriman dan sunnah para Nabi. Dan sesiapa yang keluar berlayar jauh (musafir) dengan membawa bersamanya tongkat dari kayu Luz Pahit, dia diselamatkan Allah daripada segala binatang buas yang memudaratkan dan pencuri yang derhaka (berdosa).
Dalam Al Qur’an sendiri terdapat beberapa ayat yang menunjukkan bahawa ada Nabi-Nabi yang memakai tongkat, sama ada dalam kehidupan harian atau ketika sedang beribadat. Nabi-Nabi berkenaan ialah Nabi Sulaiman Alaihissalam (Surah Saba 34:14) dan Nabi Musa Alaihissalam (Surah Al – A’raaf 7:107 dan Suarh Thaha 20:18 -20).
Diriwayatkan dalam beberapa hadis bahawa, Nabi Muhammad Sallallahu ‘ Alaihi wa Sallam juga memakai tongkat, begitu juga para sahabat dan ulama-ulama lain seperti Imam Al-Syafie Radiallahu Anh.
Al Qur’an telah menunjukkan bahawa Nabi Sulaiman Alaihissalam adalah salah seorang Nabi yang memakai tongkat, Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Saba 34:14, yang tafsirnya bermaksud : “ Maka manakala kami telah menetapkan kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu melainkan anai-anai yang memakan tongkatnya…”.
Ayat ini mengesahkan tentang kematian Nabi Sulaiman Alaihissalam dan bagaimana Allah Subhanahu Wa Ta’ala menutupi kematiannya daripada pengetahuan jin dan manusia dalam tempoh yang agak lama. Dan selama tempoh berkenaan Nabi Sulaiman Alaihisssalam tetap bertelekan (berpegang) kepada tongkat yang menjadi penompangnya.
Kemudian melalui tongkat ini pulalah rakyat, termasuk jin, dapat mengetahui bahawa Nabi Sulaiman Alaihissalam telah wafat, iaitu tatkala tongkat berkenaan jatuh ke lantai ketika salah seorang daripada kalangan jin memegang dan ingin mengangkat tongkat itu, tetapi rupa-rupanya tongkat itu sudahpun repot di makan anai-anai.
Mengikut beberapa orang ulama tafsir, antaranya Syeikh Ibnu Hayyan dalam buku Tafsir Al Bahr Al Muhith pada suatu hari seorang belia masuk menemui Nabi Sulaiman Alaihissalam tanpa terlebih dahulu meminta izin. Nabi Sulaiman Alaihissalam bertanya : “ Kenapa engkau masuk tanpa izin?” Belia itu menjawab : “ Aku masuk setelah mendapat izin”, Nabi Sulaiman Alaihissalam bertanya : “ Siapa yang memberi keizinan itu”. Belia itu menjawab: “ Tuhan yang empunya mahligai ini”. Melalui jawapan itu tahulah Nabi Sulaiman Alaihissalam bahawa belia itu adalah Malaikat Maut yang datang untuk mencabut rohnya. Kemudian Nabi Sulaiman Alaihissalam terus sembahyang sambil memegang (bertelekan) kepada tongkatnya. Lalu Malaikat Maut mencabut rohnya.
Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma berkata : “ Memakai tongkat adalah salah satu akhlak para Nabi, dan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam sendiri adalah memakai tongkat”. Dalam beberapa hadis telah sabit bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam ada bertongkat, sama ada ketika berjalan atau ketika berkhutbah.
Pembuatan tongkat ini, boleh diungkayahkan dengan berbagai cara. Terdapat reka bentuk yang begitu indah yang sering kita temui apabila sebatang tongkat itu dibentuk atau dibuat. Di antara jenis-jenis tongkat yang dibuat adalah seperti jenis yang Cangkuk, Jenis “ r “ Tombol dan Gagang Pistol. Contohnya sebatang tongkat yang diperbuat daripada jenis Cangkuk dan dari jenis kayu adakalanya dibuat sehingga tingginya 86 cm dan berat sekitar 450 gram ini bergantung kepada jenis bahan yang digunakan untuk membuatnya dan warna yang digunakan juga selalunya disesuaikan dengan jenis lorekan tongkat yang dibuat seperti warna coklat tua, hitam, putih dan sebagainya. Bagi pembuatan tongkat jenis Cangkuk ini hujung pemegangan tongkat senyawa dengan leher dan batangnya. Keseluruhannya budai warna coklat hujungnya pula adakalanya bersampak hitam. Ada juga jenis cangkuk ini yang hujung pemegang tongkat diperbuat daripada PERSPEX berwarna merah tua dengan ukurannya yang tertentu, berongga dan boleh ditangalkan daripada tangkai tongkat dengan memutar-mutarkannya.
Di dalam kitab Al Bayan Wa At – Tabyin disebutkan bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam memiliki jenis tongkat seperti Mikhsharah, Kadhib dan Al ‘Anazah. Dalam As –Shahih daripada Ibnu Umar adalah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam (apabila) pergi di sebelh pagi ke tempat sembahyang, (Al-‘Anazah) akan dibawa bersama di hadapan Baginda, lalu Baginda sembayang dan (Al-‘Anazah) itu dipacakkan di arah kiblat.
Tanpa disedari umur manusia semakin hari meningkat tua, namun masih lagi ada segolongan masyarakat Islam yang tidak menerima akan hakikat tersebut dengan tidak mengendahkan akan ajaran dan peraturan Islam. Para Nabi, dan sahabat dan seterusnya para salihin yang terdahulu, mereka semakin tua semakin kuat amalan dan ibadat mereka dengan mengikut sunnah para Nabi. Salah satu contoh sunnah yang mereka ikuti ialah bertongkat.
Jika dilihat dari segi pengertian bertongkat di mata masyarakat umum ianya cuma sekadar satu keperluan kerana keuzuran, mempertahankan diri daripada musuh dan kemalangan atau sekadar koleksi peribadi. Namun tidak semua orang mengetahui kaitan bertongkat dengan agama lebih-lebih lagi hubungannya dengan sunnah Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wasallamdan akhlak para nabi-nabi terdahulu.
Para ulama ada menyebut, bahawa bertongkat adalah salah satu akhlak dan tatacara kehidupan para nabi Alaihimussalatu Wassalam, salihin dan ulama-ulama Islam zaman dahulu sepertimana berkata Ibn Abbas Radhiallahu Anhu yang bermaksud:
"Bertumpu kepada tongkat termasuk akhlak para Nabi, dan adalah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam sendiri bertumpu kepada tongkat.".
Disebut dalam riwayat lain bahawa bertongkat juga adalah alamat orang yang beriman kerana meneladani sunnah para nabi, di samping dianggap sebagai penyelamat daripada binatang buas semasa dalam musafir jika tongkatnya berasal daripada kayu Luz. Sebagaimana hadis riwayat Ibn Abbas menyebutkan di dalam kitab As-Suyuti, (Al-Hawi), 289:
"Bertongkat adalah tanda orang beriman dan sunnah para nabi. Dan sesiapa yang keluar belayar jauh (musafir) dengan membawa bersama-nya tongkat dari kayu Luz pahit, dia diselamatkan Allah daripada segala binatang buas yang memudharatkan dan pencuci dosa".
Di dalam al-Quran sendiri juga jelas ada menyatakan bahawa para Nabi Alaihimussalatu Wassalam, memakai tongkat sama ada pemakaian dalam kehidupan seharian atau ketika sedang beribadat termasuklah Nabi Sulaiman dan Nabi Musa Alaihiwassalam.
Di antara ayat-ayat berkenaan ialah : (nas ayat)
"Dan ingatlah ketika Nabi Musa Alaihissalam memohon supaya diberikan air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu".
(Surah Al-Baqarah: 60)
Menurut beberapa hadis disebutkan bahawa Nabi kita Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga memakai tongkat ketika berjalan atau ketika berkhutbah, sepertimana jelas disebut dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Daripada Abdul Rahman bin Sa’ad: Bahawa Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah apabila Baginda berkhutbah semasa dalam peperangan, Baginda memberikan khutbah sambil memegang busur anak panah, dan apabila berkhutbah dalam sembahyang Jumaat, Baginda menyampaikan khutbah sambil memegang tongkat".
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain :
"Daripada Abu Umamah, katanya: (Pada suatu waktu) Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam keluar menemui kami dengan bertumpu kepada tongkat (bertongkat), lalu kami pun berdiri menyambutnya. Kemudian Baginda berkata:"Jangan kamu berdiri sebagaimana orang-orang asing berdiri menghormati sesetengahnya akan sesetengah yang lain……"
(Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)
Begitu juga para sahabat dan ulama-ulama lain, seperti Imam Syafi’e Radhiallahu ‘Anhusepertimana dalam hadis yang panjang daripada Imam Ahmad Radhiallahu ‘Anhu dalam musnadnya menyebutkan tentang seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Unais yang mendapat hadiah tongkat daripada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam disimpannya tongkat tersebut sehinggalah beliau wafat dan ditanam bersamanya. Antara sahabat lain yang juga bertongkat ialah Jabir Radhiallahu ‘Anhu. Mengikut satu riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya bahawa dalam peperangan Zat Ar-Riqa’. Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah meminta tongkat yang ada di tangan Jabir Radhiallahu ‘Anhu.
Diriwayatkan bahawa Imam Syafi’e Radhiallahu ‘Anhu setelah mencapai umur empat puluh tahun, beliaupun berjalan dengan tongkat sepotong kayu. Apabila ditanya sebab beliau berbuat demikian, beliau berkata:
"Biarlah aku senantiasa ingat bahawa aku ini kini sedang berjalan menuju ke akhirat".
Dalam riwayat yang lain :
"Sesiapa yang sampai umurnya empat puluh tahun, sedangkan dia tidak memakai tongkat, maka dikiralah baginya takbur (sombong) dan ‘ujub (bangga terhadap ibadah)."
Demikianlah beberapa bukti yang menunjukkan dengan bertongkat itu salah satu sunnah perjalanan hidup para nabi dan salihin.
Maka bertongkat adalah digalakkan dan sunat dilakukan, apalagi jika sudah mencapai usia empat puluh tahun sebagaimana hadis yang dinukilkan oleh Imam As-Suyuti tersebut.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.